Manifesto Konsepsual

POSTED IN Poetry 15.01.2011

Sajak-Sajak Konsepsual

Prakata: Manifesto

Sajak dan kelahirannya adalah dirangsangkan oleh sensitiviti. Sensitiviti itu mengalami proses tertentu sebelum wujud. Kewujudannya lahir dalam bentuk perantara: imej atau simbol. Perantara-perantara itu kemudiannya diwakili oleh penulisan dan tidak semestinya berada dalam pengertian [frame-of-reference] yang sama di antara individu.

Dalam konteks ini, kelahirannya yang dihasil oleh seluruh rangsang dari bentuk abstrak dan invisibal kepada kewujudan penulisan yang mungkin juga memiliki bentuk adalah suatu kelahiran yang sama dengan lain-lain bentuk seni. Cuma hasilnya sahaja yang agak terhad yang representasinya adalah penulisan: huruf, angka, tanda, bunyi atau kata atau diksi yang pula bertukar menjadi simbol atau imej.

Mungkin ada di antaranya yang tidak dilahirkan atau yang tidak terpilih di dalam proses kewujudannya, tetapi secara tidak langsung, walaupun ia berada dalam pemikiran-sensitiviti-ilusi, adalah sebahagian daripada sajak; bezanya cuma tidak dituliskan.

Ilusi, simbol dan imej yang terlahir dari rangsangan-rangsangan komplikated harus diletakkan ke tahap yang sesuai dengan tarafnya sebagai sesuatu yang bernilai seni. Tahap itu adalah penilaian kepadanya yang bersifat seni yang memungkinkan segala posibiliti-posibiliti di dalam pengertiannya. Posibiliti itu adalah pengaitannya dengan imaginasi dan pengalaman di dalam bentuk konsep-konsep. Tahap kepada keinginan untuk mencari dan mentafsirkannya inilah yang melahirkan SAJAK-SAJAK KONSEPSUAL. Jurnal Masakini, Bil.1,1976

Comments are closed.