Nota

POSTED IN Publications 15.01.2011

…puisi yang dianggap authentik, pada umumnya adalah puisi yang berbentuk monolitik dan monoton yang berciri tipa induk: prototaip/arkitaip. Pada kebiasaannya ia memenuhi beberapa ciri atau aspek bahasa (Melayu-Malaysia/ Melayu-Indonesia) seperti di atas, iaitu ciri popular dan konvensional. Penggunaan teknik dan penyampaian “lapuk” seperti bentuk yang bermiripkan pantun, syair, bahasa irama atau bentuk mentera tidak lagi menjadi asas penciptaan tempo eksperimen: Penyair Konteks/ Penyair Bunyi/ Penyair Konsep/ Penyair Grafik/ Penyair Melodi/ Penyair Signal/ Penyair Sureal/ Penyair Gerak/ Penyair Pop/ Penyair Rok/ Penyair Teater atau seterusnya. Maksudnya: karya-karya begini dari sudut penghakiman atau pandangan konvensi adalah sebagai karya sampingan yang tidak mempunyai fungsi (sosial, politik, ekonomi…) malah berupa suatu petanda keruntuhan dan kerosakan Bahasa Melayu yang baik. Dalam beberapa situasi kefanatikan itu, ia distemkan sebagai karya ringan, tidak serius ataupun hanya mainan isengan anak muda yang nakal.

Kefanatikan ini berlaku mungkin disebabkan oleh pengaruh [metos?] bahasa sebagai media perhubungan yang utuh dan paling terbudaya penggunaannya di dalam sebarang masyarakat dunia. Oleh itu pemenjaraan (bukan penolakan!) dan kebimbangan terhadap bentuk pendekatan eksperimen yang pada umumnya bersifat anti-bahasa atau non-bahasa dicap sebagai agen seni yang boleh merosakkan kaedah biasa Bahasa Melayu-Malaysia. Maka bahasa puisi itu, dalam konteks pemikiran puisi konvensional ini, telah dimertabatkan sebagai suatu sistem penyampaian (presentasi) yang berkaitan dengan sistem penyampaian yang telah tetap. Sementara itu, pengungkaian konteks istimewa atau konteks khas yang berlawanan dengan penggunaan bahasa biasa/baku tidak dipertahankan sebagai sesuatu karya seni kreatif yang bermunafaat. Ataupun, bahasa itu telah dikondisikan menjadi sebagai suatu alat pengucapan yang utama serta bersebati dengan entiti puisi yang tidak melewati mekanisme bunyi, susunan perkataan dan susunan ayat. Maka entiti dan fungsi yang menunjangi puisi itu dianggap sebagai entiti/fungsi bahasa dan bukan entiti/fungsi puisi. Di dalam situasi ini, ciri-ciri puisi secara umumnya tidak dianggap sebagai suatu sistem yang melepasi entiti/fungsi bahasa, walhal entiti puisi itu adalah suatu bentuk (media) kreatif yang tersendiri (misalnya untuk berkomunikasi sebagaimana muzik, senilukis, tarian, grafik…)

yang berlainan daripada sistem kreativiti bahasa.

Petikan: “Mempertahankan Puisi Eksperimen Malaysia”, Dewan Sastera, 1990.

Comments are closed.