Nota 2

POSTED IN Publications 15.01.2011

Makna sesebuah p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n adalah suatu pilihan antara beberapa kekuatan pengalaman yang sesuai dengan aspek teknik dan penyampaiannya. Hal ini memberikan perhatian kepada pembaca atau audiens bahawa aspek teknik dan penyampaian yang menjadi entiti utama p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n merupakan saranan atau objek yang mengambil alih tempat realiti, iaitu pengalaman deria-persepsual yang sebenar di dalam sesuatu ruang-waktu yang dialami atau dipilih oleh seseorang penyair. Ini bererti bahawa aspek formal adalah suatu pernyataan/representasi realiti yang bersifat luaran yang dipinda oleh pencipta ke bentuk teks penulisan yang dinamakan puisi.  Olehkerana pengalaman yang terdapat di dalam kebanyakan p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n bukan pengalaman yang terkhusus sifatnya (atomnya?) di dalam sebuah kamus diksi atau bahasa, maka perleraian terhadap maknanya perlu dilihat daripada kamus-kamus ilmu pengetahuan (ensaiklopedia) yang terdapat di luar kamus diksi-bahasa. Permaknaan yang tersirat di dalam sesebuah p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n adalah merupakan suatu penyusurgaluran proses dan faktor yang membentuk p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n itu sendiri. Proses ini melibatkan selonggok pengalaman penyair terhadap suatu realiti yang mempunyai frem rujukan. Realiti itu mungkin berada di dalam ruanglingkup Sejarah, Etnologi, Geografi, Sains, Metamatik, Teknologi, Kesenian, Falsafah dan sebagainya yang bertindak sebagai rujukan bagi maknanya. Oleh itu pencarian makna di dalam sesebuah p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n adalah pencarian dan penguasaan ilmu pengetahuan yang telah dipindahkan oleh penyair ke bentuk teks.

Maka pencarian makna di dalam p.u.i.s.i. e.k.s.p.e.r.i.m.e.n adalah suatu pencarian idea atau konsep mengenai suatu pernyataan/kefahaman yang multi-dimensi dengan suatu skala tanggapan yang terdiri daripada ciri-ciri makna prima dan sekonder yang diingini oleh penyair. Skima ini terbentuk disebabkan oleh adanya unsur-unsur prima/utama dan sekonder/sampingan di dalam aspek teknik dan penyampaiannya yang mana sesebuah p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n itu tidak memberikan perhatian semata-mata kepada aspek sebutan dan perkataan sebagaimana puisi non-ekperimen yang lebih univokal. Ini menggambarkan bahawa sesebuah p.u.i.s.i e.k.s.p.e.r.i.m.e.n itu mempunyai suatu geraf kefahaman yang berpusat kepada dua asas julat makna yang utama: makna minimamakna maksima atau makna penting-makna sampingan sebagai hasil daripada ciri multi-vokal yang dimilikinya. Oleh itu tugas penyair dan audiens (pembaca/penerbit/sejarawan/pengkritik…) adalah mengenalpasti suatu siri julat makna yang terpendam di dalam sesebuah karya puisi mengikut realiti teksnya. Seterusnya, perhubungan seseorang penyair dengan karyanya adalah merupakan perhubungan dua-hala di antara pencipta dengan realiti yang melibatkan imaginasi (bukan khayalan!) dan rujukan kepada teks. Realiti pula, di dalam konteks ini, merupakan teks puisi (karya puisi) yang terhasil daripada respons (tindakbalas) antara penyair dengan realiti (ruang-waktu/lahiriah-jasmaniah…) sebenarnya yang realistik. Maka realiti seseorang penyair di dalam sesebuah karya adalah realiti teks yang telah diubahkan sifat realiti asalnya iaitu pengalaman sebenar: keduniaan/deria kepada realiti teks. Ia tidak lagi bersifat pengalaman deria-persepsual yang asli tetapi berada di dalam berbagai bentuk representasi: tulisan, bentuk, garisan, angka, topografik, lambang, tanda, signal, bunyi, gerakan dan sebagainya.

Petikan: “Mempertahankan Puisi Eksperimen Malaysia”, Dewan Sastera, 1990

Comments are closed.