Pantun Seminar

POSTED IN Publications 16.01.2011

Nostalgia Pantun:

Alam dan Imejan Pascamoden

Ismail Abdullah

28 Julai 2010

Sinopsis

Pantun yang tradisional atau bertipa induk mempunyai struktur pembayang dan maksud yang menghubungkan dikotomi eksotrik-esotrik/fizikal-spiritual ke dalam satu ikatan atau sinkronik bait yang diolah dengan diksi dan bunyi vokal atau konsonan yang indah. Keindahan itu bersifat gabungan sintaksis /bunyi yang saling berharmoni – halus, berpadanan, berirama, bernada dan berseimbangan. Malahan kita telah sememangnya terbiasa dengan struktur dan stail pantun yang terbahagi kepada dua bahagian atau dikotomi utama, pembayang dan maksud. Mungkin juga kita berandaian bahawa semua karya pantun adalah sempurna bentuknya, bermoral  mesejnya dan seterusnya menganjurkan suatu bentuk karya puisi tradisional yang signifikan. Namun, kita masih boleh membina tanda, lambang, thamsil, ibarat atau pembayang, mesej atau makna melalui pengalaman peribadi sebagai bayangan pengalaman masa kini.

Antara kaedah pencarian makna dalam mengungkai hubungan dan rahsia antara hubungan pembayang dengan maksud pantun memerlukan cara yang struktural / pascastruktural, termasuklah cara “masuk akal,” logikal atau berfenomenologi. Penciptaan pantun biasanya merupakan gambaran alam yang bercorak struktural/pascastruktural serta berfenomenologi  “eiditik” atau intipati pengalaman budaya. Sehubungan ini karya pantun mirip kepada proses semiologi yang bersifat “ilham kemakrifatan” (ala Melayu-Islam?) atau “inspirasi transendental ”, yang memaparkan imejan alam dengan segala keindahan dan kesempurnaannya, yang memikat perasaan dan hati budi serta persekitaran atau fenomena zamannya.

Adakah pantun hidup bersama situasi zamannya atau ia sekadar suatu bentuk medium atau presentasi pemikiran dan komunikasi yang sinonim, dan serasi dengan kebiasaan dan ekspresi zamannya. Mungkin ada kebenarannya. Jika ciri utama pantun selamanya mempertahankan skima asal alam semulajadinya, maka bentuknya akan kekal konvensional, tetap tidak berubah. Tetapi pada masa yang sama, konvensionaliti itu akan dengan sendirinya menghilangkan konteks atau cerminan ketamadunan dan sensualiti zaman kontemporarinya. Jika berterusan dikekalkan konvensi alam desa dan kesemestaannya secara tradisional, atau secara tidak terusik, maka ia hanyalah suatu penampilan wasilah alam Melayu Islami silam yang nostalgik. Ciri kesemestaan alamnya menjadi hambar, mungkin berkehilangan fungsinya,  dalam konteks citarasa masakini yang berteknologi, berpersekitaran pluralistik dan intraksi yang global sifatnya.

Perlukah pantun dicipta mengikut acuan asalnya, mengikut dikotomi eksotrik-esotrik, atau berubah mengikut konteks perubahan zamannya? Bagaimana kalau imejan semiologinya, misalnya wajah pokok kelapa di tengah bandaraya Kuala Lumpur , dijadikan pembayang pantun. Apakah nada puitisnya dan maksudnya perlu berpijak di zaman lampau atau realiti masakini? Atau bolehkan pembayangnya dilukis, difotograf, digrafikkan, dieksperimen atau disensasikan rupa bentuknya melalui teknik kontemporari.

Teks ini akan memperlihatkan pemikiran ke arah mengekploitasi bentuk klasik pantun kepada suatu bentuk yang lebih dinamik dan kontemporari dengan merentas sempadan konvensionalitinya mengikut ketamadunan teknologi. Perbincangan juga akan membicarakan tentang kedinamikan imejan pembayang yang semiologikal ke dalam konteks budaya visual yang lebih berkontekstual dan bersignifikan. Di dalamnya dipaparkan dengan situasi atau environmen harian yang sentiasa bertukar imejan dan konteksnya, dan yang berdepan dengan arus perubahan.

Pendahuluan

Pantun biasanya disampaikan secara berseni sama ada dalam bentuk diksi berpasangan, beritma, berasonansi atau pun berdendangan, beralunan, atau bermelodi, kerana bahasanya yang harmonis dan sarat dengan keseimbangan katanya.  Pantun  sangat segar suasananya kerana dianyam dengan alam yang indah. Bentuk penyampaiannya bersandarkan pembayangan melalui makrifat dan signifikan alam dengan kandungan makna yang penuh berthamsil ibarat, berhemah dan berlapik. Kadangkala berumpamaan dan bersindiran, berseloka, lembut, tajam dan kerap menusuk ke dalam jiwa dan alam imaginasi. Pantun juga disampaikan secara penuh sopan dan santun di antara pemantun atau penyampai dengan pendengar atau penyambutnya, yang mana dua rangkap pembayang alamnya secara zahir/fizikal (eksotrik) menjadi pendahuluan bicara yang sentiasa patuh mendahului mesejnya secara batin / spiritual (esotrik). Dua rangkap pertamanya sarat dengan kebesaran dan keagungan alam ciptaan Tuhan, seakan menonjolkan makrifat atau ilmu,  “ayat” atau tanda Allah Azza-Wajalla, yang “Maha Pencipta dan Maha Mengetahui” (Al-Quran: Yassin, 81) serta membayangkan hasrat dan maksudnya. Kedua-dua bait itu membayangkan hasrat dan maksud pemantunnya secara diplomatik, berhati-hati, dengan hasrat yang pintar dan hajat yang tersirat, tersembunyi dan berkias.

Pantun tradisional masih mempunyai banyak rahsia kreatif dan falsafahnya kerana menonjolkan tanda-tanda kebesaran dan keagungan Allah, Tuhan Pencipta Sekelian Alam, melalui pembayangnya secara konsisten dan signifikan. Kehadiran elemen alam dalam pantun menjadi suatu signifikasi istimewa, ia seakan refleksi kemakrifatan alamiah dalam konteks keagungan Allah, “Milik Allah apa yang dilangit dan apa yang dibumi” (Al-Quran: Al-Baqarah, 284). Imejan alam menjadi sebagai kaedah untuk menyatakan kesucian dan keagungan Tuhan oleh penggubahnya secara tersirat. Jelasnya, alam itu dicipta Tuhan, dan Jibrail berkata kepada Nabi Muhammad s.a.w: “Bacalah olehmu dengan nama Tuhan yang menjadikan alam” (Muhammad Zaki, 1962).

Namun penonjolan imejan atau “logos” alam yang sangat ketara ini serta kaitannya dengan keagungan serta kemakrifatan Tuhan masih menjadi tanya tanya yang tersendiri memandangkan penggubah pantun tidak memaparkan nama atau memanifeskan karya masing-masing secara peribadi. Walau bagaimana pun, bentuk pantun, skima bait dan strukturnya yang dominan mampu menimbulkan pelbagai spekulasi atau wacana pemikiran. Apakah pembayangnya yang memaparkan secara konsisten elemen alam sebagai petanda (signifier) dan petunjuk (index) imejannya memiliki signifikan sosial dan budaya masyarakatnya. Sesebuah pantun itu mungkin mempunyai unsur pemikiran sinkronik, ekspresi “dualisme” atau “zahir-batin” yang bersalingkait dan mempunyai signifikan yang bersifat hubungan individu dengan kesemestaan alam, sebagai kaedah untuk memuji serta menyanjungi “ayat” atau “logos” mengenai kebesaran Allah, Tuhan Pencipta Alam. Elemen pembayang itu merupakan saranan dan bayangan tentang keutamaan untuk memuliakan alam ciptaan Tuhan, sementara mesej/maknanya merupakan sebuah doa untuk kesejahteraan hidup manusia. Pembayang daripada imejan alam itu sentiasa mendahului pengucapan dan bicara kata penggubahnya, sebagai mukaddimah bicara dengan tidak membelakangi Tuhan  yang Khalik, dan yang mencipta alam.

Dalam konteks ini, masyarakat Melayu Islam di Tanah Melayu atau Nusantara biasanya memulakan sesuatu aktiviti, kerja, ucapan atau sebagainya dengan menyebut dan memuji nama Allah dan Rasulnya terlebih dahulu. Ia menjadi sebagai suatu syarat dan amalan budaya atau kaedah amalan untuk berkomunikasi antara hamba dengan Tuhannya. Dengan menyebut dan mengaitkan alam ke dalam sesebuah pantun, maka penggubahnya secara tidak langsung telah menghubungkan dirinya yang kerdil dengan Tuhan Maha Pencipta Alam. Secara impetus dan spiritual (esoterik), seseorang penggubah pantun itu telah mengangkat dan memuliakan kebesaran dan keistimewaan alam, sebagai wadah atau manifestasi utama penggubahan pantun. Penggubah pantun secara impetus memperhambakan dirinya dengan tidak melupai kebesaran Allah melalui karya puisinya yang bersifat mundane – kerdil , hina dan duniawi (eksotrik). Secara tidak langsung akan mengelakkan dirinya daripada sebarang bentuk riak atau kesombongan kepada Allah yang mencipta manusia.

Secara umumnya manusia menyukai keindahan. Keindahan yang paling mudah diperolehi boleh dilihat daripada alam ciptaan Allah Tuhan Maha Esa – Pencipta Maha Agung. Pantun secara umumnya memperlihatkan perlukisan dan gambaran penggubahnya terhadap keagungan alam ciptaan Tuhan melalui bait pembayang, melalui gaya dan intonasi bahasa yang ringkas, padat dan kemas. Mengikut Hadith, “sesungguhnya keindahan bahasa adalah sihir, dan sesungguhnya syair adalah kata berhikmat” (Hasjmy162). Dalam alam keindahan itu terserlah keRahmananNya melalui penampilan elemen atau imejan fizikal-persepsual yang jelas dan agung.

Pantun disampaikan dalam suatu pakej hubungan sinkronis antara alam-manusia yang harmonis. Di dalamnya terdapat pelbagai gabungan dan sensasi imej atau ekspresi “logos” tampakan alam yang menyenangkan perasaan dalam bentuk keseimbangan dan bersalingkaitan. Dalam ketimbangtaraan itu terserlah segala aspek kesesuaian dan keselarian tampakan melalui jumlah suku kata pada setiap baris yang konsisten, sama ada dari segi penampilan rupa bentuk, kewarnawarnian atau suasana. Pantun amat mementingkan keseimbangan, iaitu ciri dan dominasi alam yang paling lumrah, dan sensasi tampakan, serta kehalusan perasaan melalui wajah alam dengan segala perlambangannya. Keindahan itu sebenarnya suatu manifestasi berkonsepkan pemikiran Melayu iaitu ketenangan, keamanan, kebahaian atau kesentosaan hidup. Manusia sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan alam untuk hidup aman bahagia. Namun daripada perspektif liberalis atau pascamodenis, ala Derridean?, hubungan manusia dan alam itu adalah dalam bentuk kesementaraan atau multi-perspektif, kerana alam boleh bertukar wajah, bersifat nyah-posisi dan kerap berwacana alternatif atau boleh diubahsuai mengikut keadaan masa. Secara umumnya pascamodenis melihat dunianya daripada kesilangan perspektif dan pemikiran alternatif

Setiap yang indah itu melibat dan memberikan kita secara deria, perasaan dan emosi akan segala nilai  dan kesan yang bersifat peribadi atau monoistik yang istimewa seperti keseronokan, keselesaan, kepuasan, kebahagian dan sebagainya. Ahli falsafah Naturalisme di Barat seperti Dewey dan Santayana menghurai dan mengulas beberapa ciri keindahan fizikal objek dari alam seperti unsur-unsur keseimbangan, perulangan, harmoni dan sebagainya. Ahli falsafah Naturalisme seperti Rousseau dan Dewey, tidak mengaitkan penghayatan mereka dengan aspek keindahan atau estetik yang berkaitan dengan isu kemanusiaan seperti persepsi, emosi, perasaan, ketakutan, komunikasi, ekonomi, politik dan sebagainya. Mereka melihat alam dari sudut kemurniannya dalam konteks pengalaman persepsual dan kederiaan (sense-perceptual) yang romantik.

Realiti pencinta, penghayat atau penikmat alam tidak serupa dengan realiti pengguna alam. Pencinta alam atau naturalis adalah seorang tradisionalis yang pasrah dengan ketentuan fizikal yang datang daripada takdir dan Ilahi. Naturalis mungkin seorang yang bersikap monoisme (monism) dan mempunyai persepsi hidup yang “tertutup” kerana kepasrahannya (Craig dan Moreland, 2000). Seorang monois tidak bersifat saintifik atau ekonomik, politik atau sosialitik atau bukan seorang modenis (ibid.). Pandangannya mungkin sempit, stereotaip atau konvensional kerana rasionalnya menjurus kepada isu dan huruaian yang terkongkong serta tiada kepelbagaian. Jika dibandingkan dengan seorang modenis atau pascamodenis, yang saintifik dan malahan liberal pandangan hidupnya, maka seorang monois tidak membebaskan persepsinya terhadap dunia dan alam sekiitarnya.

Perbezaan ketara antara monois dan liberalis adalah tentang pandangan tertutup atau berkonvensional, dengan yang lebih terbuka dan bebas. Jika seseorang naturalis melihat alam sebagai alam semesta yang bersifat fizikal dan murni, yang hidup dalam ketenteraman tanpa gangguan, maka liberalis atau pascamodenis melihat alam sebagai sebahagian daripada fragmen, komponen dan proses kehidupan. Pascmodenis mungkin melihat alam sebagai objek atau projek yang boleh dieksperimen, iaitu sebagai wadah untuk memenuhi impian dan kehidupan harian mengikut cita rasa, keperluan dan konteksnya. Bahkan lebih jauh lagi impian itu mampu merentas sempadan atau kawasan rupa dan bentuk konvensional. Akibatnya, persekitaran manusia tidak lagi dilingkungi alam yang asli sifatnya, sebaliknya dipenuhi oleh alam buatan manusia sendiri.

Begitulah juga, seorang naturalis misalnya Rousseau (yang anti-pembangunan material) tidak akan “mengapa-apakan” atau mengusik alam sekelilingnya menjadi tercela atau tercacat, sebaliknya membiar, menjaga, memelihara dan menghormatinya. Begitulah kalau diperhatikan terhadap gerakan atau aktiviti para aktivis alam, atau environmentalis yang memprotes sesiapa sahaja yang mengusik atau memanipulasikan kemurniaan alam semulajadi. Sebaliknya seorang pascastructuralis/pascamodenis seperti Levi-Strauss , Foucault, Derrida atau Lyotard melihat alam dan realiti sebagai sebahagian daripada proses / intraksi yang menyentuh “struktur” objek atau material, peristiwa dan fenomena hidup di dalam kehidupan, dan bagaimana caranya supaya ia boleh diproses mengikut pelbagai acuan, atau dipelbagaikan ciri atau fungsinya, atau diagihkan, dikongsi dan ditransformasi kepada rupa bentuk yang canggih dan lebih luas mengikut cita rasanya.

Saban hari manusia meneroka dan menjajah alam, menangkap dan memproses alam mengikut acuan mereka secara beramai-ramai. Dalam konteks sekarang tiada bahagian alam asli yang selamat, kecuali kawasan selamat yang digazetkan kerajaan atau sesebuah negara, selainnya semua diteroka dan dipaksa oleh teknologi untuk memenuhi keinginan manusia dan kemodenan hidup. Kepanasan alam dan kecelaruan iklim secara global adalah sebahagian daripada proses kepascamodenan yang mengheret alam ke era konflik yang berlaku secara global.

Apabila melihat pemandangan kota yang didereti pohonan kelapa atau palma, maka ia mengingatkan suasana naturalistik di perkampungan atau di kawasan pendalaman. Tidak ada rumah di bandar atau dikota besar yang tidak dihiasi dengan tumbuhan alam, walau sekecil mana sesebuah rumah itu.  Apabila melihat dokumen fotograf yang dirakamkan oleh J.W.W.Birch ketika pertengahan tahun 1876 di sekitar Sungai Perak, maka terpancarlah imejan kampung Melayu yang konsisten – iaitu rumah atau dangau yang sentiasa dikelilingi tumbuhan alam. Di kawasan pendalaman Melayu yang amat miskin dan daif itu dipenuhi oleh pokok kelapa, pisang, pinang dan sebagainya.

Malahan catatan harian atau cerita Isabella Bird di negeri Selat atau Frank Swettenham di Langat  juga menggambarkan keadaan yang serupa , iaitu pemandangan kampung dan dusun yang dipenuhi pokok kelapa dan buahan lainnya. Wajah tipikal atau bertipa induk tentang imejan visual orang Melayu pula bersongkok, berkeris, berlembing dan sebagainya adalah gambaran budaya visual yang lokal. Bahkan budaya sosial dan imejan visual terhadap daerah atau pertempatan Melayu ketika itu ditulis dengan jujurnya oleh Munsyi Abdullah sebagai kawasan yang semak samun, tidak terurus, atau jijik. Dan sifat dan budaya hidup orang Melayu sendiri ditulis melalui buku pelayarannya berbeza dengan gaya hidup orang putih yang berstatus “cerdik” dan “mulia,” dilihatnya jauh lebih sempurna.

Pantun dan masyarakat Melayu tidak boleh dipisahkan kerana masih terdapat tanda-tanda keramatnya di seluruh tanahair. Benarkah? Atau kita sekadar bernostalgia dengan imejan dan auranya. Benarkah masyarakat Melayu melupai pantun, atau sekadar menukar selera untuk menggunakan media selain pantun bagi tujuan berinteraksi, berhibur, berkomunikasi.atau bernasihat dan bermotivasi. Adakah pantun hidup bersama situasi zamannya atau ia sekadar suatu bentuk presentasi, pemikiran dan komunikasi yang telah berubah dan sinonim dengan persekitaran zamannya . Jika ciri utama pantun sebagaimana asalnya masih dipertahankan, maka ia kekal konvensional bentuknya, dan akan kehilangan perasaan atau sensualitinya. Jika berterusan dipadukan bersama suasana alam tradisionalnya, maka ia hanya suatu nostalgia, dan menjadi hambar dalam konteks persekitaran kontemporari dan perasaan yang asing.

Penonjolan alam semesta yang natural dan tradisional yang telah berakar-umbi   dalam konteks zaman pemantunnya, akan menjadikan sesebuah karya pantun hilang kebitaraannya, atau terserlah ciri kelestarian jati dirinya. Kerana, tradisi dan struktur pantun perlu memiliki dua baris bait imejan alam yang menjadi pembayang maksud.  Ini bermakna, bentuk dan struktur asal pantun, dengan gabungan pembayang-maksud, perlu dikekalkan tanpa sebarang modifikasi atau perubahan. Namun, dalam era  kepascamodenan tiada pantun yang boleh dilihat ciri dan bentuknya dalam keadaan atau kesifatan asalnya yang  total atau statik, kerana alam pascamoden telah dikelilingi oleh kerencaman  pemikiran dan  kepelbagaian persekitaran yang bersifat eksperimental dan progresif. Budaya pascamoden bersifat campuran dan interogasi, asosiasi dan asimilasi, rempuhan dan eksploitasi budaya dan kemahiran teknologi terhasil daripada proses dan pembangunan sains-teknologi moden dan inovasi terkini secara meluas (Lyotard) yang telah menyerang dan mewarnai dunia kehidupan hari ini.

Makrifat, Dominasi dan Protokol Pantun

Kebesaran dan keindahan alam telah menarik pemikiran pencipta pantun. Aura alam dalam pengimejannya, menjadikan pantun sebagai medium yang mengabadikan keindahan dan mengkomunikasikan secara lisan, dan kerapkali dramatik, berharmonis serta bertimbangtara, antara alam dengan manusianya. Pantun secara spiritualnya mempunyai hubungan dengan “alam semesta” milik Tuhan, Allah Yang Maha Esa. Alam semesta memiliki sifat zahir, ghaib dan kemakrifatan. Alam adalah indeks dan tanda yang melambangkan kebesaran dan keagungan Allah. “Alam semesta”  yang dicipta Tuhan Maha Pencipta memiliki segala sifat keindahan, keistimewaan dan kesempurnaannya. Sebab itulah pantun sangat selesa, sedap didengar kerana kemakrifatan alam semulajadi dan kesemestaannya adalah suatu rahmat yang diciptakan Allah Ar-Rahman untuk hambanya.

Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan  langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka (Al-Quran: Ali ‘Imran 4, 189-191).

Pantun masih memiliki kekuatan struktur tradisi dan nilai estetika Melayu yang istimewa. Ia dihayati dan dipopularkan oleh masyarakat Melayu tradisional atau lama melalui pelbagai fungsi sosial atau kemasyarakatan. Pengarang dan penggubah pantun tidak mengabaikan tanda kebesaran Allah yang berkenaan sebegitu sahaja. Penggubahnya sentiasa bersama kebesaran, keagungan dan keesaan Tuhannya. Di samping itu nilai estetika Melayu yang berteraskan elemen adab, tertib dan kepintaran seperti mengambil hati, berhati-hati, lembut, berlapik, berkias, berumpama, bersindir, bersembunyi, tersirat, atau berdiplomatik mendominasi kandungan pantunnya .

Pantun menjadikan alam penciptaan dan pemberian Tuhan sebagai sumber ilham yang berestetika dalam konteks kebatinan Melayu atau transendental Islami. Pencipta atau pengarang pantun tradisional seakan terpukau dengan kebesaran dan sentiasa memuliakan keindahan alam ciptaan Allah secara meletakkan pada bahagian dua bait depannya. Proses penciptaannya pula masih dimakrifatkan kepada kebesaran dan kebijaksanaan Allah serta keajaiban alamNya, Demikianlah jika perlukisan wajah atau imejan di mana pantun ingin dikekalkan keasliannya, maka ia semestinya mengandungi unsur kebesaran alam ciptaan Allah. Entiti pantun akan dianggap asli jika ilham dalam maksud atau mesejnya dapat ditamthilkan ke dalam alam kebesaran Tuhan.

Keindahan pantun amat terasa dan teruja, terutamanya tentang kelunakan keselangan bunyi yang beritme dipadankan dari kebesaran alam. Imejan alamiah itu mesra bersebati atau cepat berenigmatik dalam jiwa, iaitu melalui mesejnya yang simbolik atau bermetafora, dan tidak disampai secara langsung tetapi secara beralas atau beradab dan tertib. Itulah keindahan pengucapan jiwa Melayu – berlapik, berkias, bersindiran, bertimbangtara, berpesanan atau saling mengingati.  Para pencipta, pengarang atau pemantun Melayu lama mempunyai ruang yang panjang untuk berinteraksi dan hidup bersama alam. Kehidupan masyarakat Melayu tradisional sememangnya dikelilingi alam. Alam memberikan rezeki dan menjadi sumber penghidupan kepada mereka. Secara jujurnya mereka menghormati alam, malahan hidup “bersebati” dengan alam, dan tidak akan menjadi agen perosaknya kerana istilah arus pembangunan atau industri tiada dalam kamus hidup mereka.

Dalam situasi sekarang, hidup kita mulai terpisah dengan alam tumbuhan dan persekitaran semulajadi. Kita mengubahsuai atau membioproseskannya. Di mana-mana pun begitu, produktiviti atau komoditi, industrialisasi dan komersialisme adalah istilah yang telah menyerang  desa dan kampung dari semua arah. Kita tidak lagi, secara relatifnya, bermesra dan mencintai alam atau kita tidak mensejahterakan alam, atau menyayanginya. Tetapi sebaliknya kita merompak alam, kerana terpaksa berekonomi dan berkomersial untuk survival.

Malangnya masyarakat sekarang menjadi agen pemusnahnya, dan mempupusnya secara sistematik, kerana hal ini telah menjadi ukuran pembangunan. Kita menggali perut bumi untuk survival, kita mengkomersialkan sumbernya, menteknologikannya, dan mungkin juga mempolitikkannya. Kita memotong, menggergaji, membakar, meracun, malah meletup atau mensabotajnya. Kita menjadikan zon alam sebagai zon kemusnahan, zon kerakusan atau keserakahan perniagaan.

Budaya Persekitaran dan Signifikan Pantun Kontemporari

Elemen alam yang terdapat dalam pembayang pantun sememangnya gambaran imejan sebenar budaya dan pengalaman Melayu masa silam. Imejan visual yang asli didatangkan oleh alam persekitarannya yang berkhatulistiwa sejati atu bertropika asli. Bayangan imejan di zaman Birch, Isabella Bird atau Swettenham tentunya jauh berbeza jika dibandingkan dengan zaman terdahulunya (Kerajaan Melaka, Hang Tuah atau Tun Perak dan lain-lainnya?), iaitu masyarakat Melayu silam. Pastilah period masyarakat feudal, klasik dan tradisional itu sangat alami. Ia tidak dibangunkan dengan pembangunan fizikal, sebaliknya dikelilingi oleh pelbagai jenis spisis kayu kayan, paku pakis, atau denai sungai  atau tasik yang sangat perkasa alamnya. Tetapi bagaimana pula budaya atau imejan visual di zaman masyarakat Melayu moden, setelah lebih seratus tahun yang lalu dari zaman Munsyi Abdullah?

Perubahan dan citarasa zaman terus meninggalkan detik dan ruang budaya yang kita lalui. Ia tetap akan melalui ruang sejarah dan fenomena budayanya, mengikut pelbagai faktornya, sebab musababnya, yang tersendiri. Ruang budaya dan sosial kita sentiasa mengalamai perubahan atau transformasi. Bahkan teori perubahan itu telah wujud sejak zaman pra-Socrates yang dipelopori oleh Heracleitus pada zaman purbakala (Adler).  Francis Fukuyama menulis dalam buku tersohornya “The End of History and The Last Man” (1993:91) dengan pandangannya sebagaimana berikut, “…where today’s modernity quickly becomes tomorrow’s antiquity.” Betulkah? Kita tidak sukar menerima kebenaran ini, ia adalah suatu hakikat dan sejarah hidup manusia yang sentiasa merubah banyak perkara, atau mencipta banyak peristiwa, tanpa halangan, melalui fitrah kreativiti dan inovasi untuk kehidupan.

Orang Melayu lama atau tradisional, yang berpusat di kampung atau kawasan pendalaman, sememangnya hidup bersama alam tumbuhan. Mengenali pantun akan kenal hati budi, benak dan pemikiran Melayu. Melalui pantun semestinyalah mereka sangat arif dan fasih mentakrif bahasa alam di sekitarnya. Mereka  memahami petanda alam yang kosmologik sebagai sebahagian panduan untuk survival . Seekor burung gagak yang terbang dan hinggap di pokok tinggi dan “berkokok” bertalu-talu mengisyaratkan atau mempertandakan atau “mengalamatkan”  wujudnya “kematian” di sesebuah kampung. Begitulah unsur alam yang sarat dengan pertandaan atau “alamatnya” dalam “bahasa berirama” dalam pengkisahan penglipur lara yang mistik sebagaimana yang tergambar dalam “Alamat Hari Nak Siang”. Pengkisahan dan kepertandaan alam memang terdapat cerita Malim Deman, Awang Sulung Merah Muda dan lain-lainnya. Kepertandaan itu adalah sebahagian daripada elemen magis dan kebatinan Melayu yang jawapannya hanya terdapat melalui kemistrian atau kesemestaan alam.

Pokok kelapa ditanam berdekatan serambi rumah untuk menanda dan mengukur umur anak mereka. Daun getah yang gugur melambangkan kemarau akan tiba. Perubahan musim ditandai doa atau pantang larang. Semuanya terserah kepada “alam semesta yang ghaib”. Tanah dijampi, tiang alang diikat atau dilapik dengan kain perca sebagai petua keamanan semasa didirikan rumah, atau padi dipuja musimnya ketika dituai. Dan seluruh isi kampung menjadi sangat alami dan spiritual, kerana kudrat untuk menungkah atau menjungkir balik bumi atau mengeluarkan isi perutnya dan menggali hasilnya bukanlah mudah kerana ada keghaiban yang tidak boleh diselesaikan. Atau kelemahan itu memerlukan teknologi dan kekuatan kejuruteraan, bukanlah semangat dan imaginasi semata-mata. Namun Si Luncai telah menjadi seorang yang kreatif dan imaginis apabila berjaya terjun dengan labu, “buah alamnya”, tanpa sebarang ubahsuaian sebagai pelampung moden “lifebouy” untuk survival.

Di zaman pembangunan kita melihat imejan yang berbeza di kampung  atau pendalaman dengan apa yang terdapat di bandar atau kota. Di pendalaman sesuatu masyarakat itu akan dilingkungi oleh ciri alam semesta – tumbuhan atau tanaman – yang lebih besar. Tetapi di kawasan metropiltan sebaliknya, masyarakat penghuni dihimpit atau dipenjarakan oleh pelbagai jenis tembok atau kepungan yang terdiri daripada bahan pemprosesan, bahan gentian buatan, pembudayaan bahan (material culture) atau pengadunan teknologi. Dikepung oleh pelbagai elemen yang telah diproses dan bersifat artifisial. Kita melihat lori, trektor, jeriji besi, simen konkrit, penyembur serangga, bas mini, motorsikal, atau bakul dan beg plastik. Produk budaya atau barangan objek itu adalah petanda atau signal mengenai unsur “alien” atau makhluk asing, musuh (pencabul, perosak, pemusnah) alam. Kesemua bahan itu adalah buatan atau ciptaan manusia yang telah membudayakan alam kehidupan kita. Sebagai contoh, keindahan elemen bunyi dalam muzik juga turut berubah dari batang padi, seruling buluh, gedombak, gendang dan nafiri kepada flut, klarinet, seksofon, biola, piano, gitar, atau sinsitiser digital.

Pada pertengahan 1970an-1980an dahulu saya menulis beberapa buah esei yang bertemakan puisi konsepsual dan komunikatif dalam konteks karya eksperimen dan  pasca moden. Tulisan-tulisan ini telah disiarkan oleh Dewan Sastera di sekitar tahun berkenaan. Dalam salah satu esei itu saya menerapkan imej “Pak Dogol” iaitu salah satu watak lucu atau karikatur dalam cerita wayang kulit. Saya mendapat idea itu semasa berbicara tentang sastera dan zamannya di kota Kuala Lumpur bersama seorang penyair mapan. Perbincangan itu banyak memperkatakan tentang beberapa aspek pembangunan puisi (“Wadah Puisi……”) sebagai kesinambungan atau “reminisens” kepada pembangunan material. Hujahannya adalah kita tidak dapat menolak kebangkitan teknologi material, komersialisme dan budaya populis kerana keperluan survival  semasa manusia. Kita perlukan sudut pandangan dan pendekatan yang baru, yang seiring dengan keperluan masa supaya tidak ketinggalan zaman. Sebagai contoh, watak “Pak Dogol” yang hebat dalam cerita wayang kulit versi Melayu itu tidak akan dikenali lagi sekiranya tidak dianimasi atau didigitalkan, kerana masyarakat kontemporari kita mungkin lebih mengenal watak-watak animasi dalam versi Walt Disney, atau Doraemon, atau sekarangnya kartun Melayu, Upin dan Ipin.

Dalam situasi puisi tradisional, khasnya pantun, imejan yang lalu itu menjadi nostalgia atau hanya gambaran kenangan masa silam, yang makin lama semakin dilupai kekuatan dan kehebatannya. Atau dalam kata jujur Sutan Takdir Alisjahbana, puisi lama adalah pancaran masyarakat lama. Imejan itu diganti dan dibayangkan melalui bahan alam yang telah diproses melalui pelbagai teknik dan acuan. Alam bahan itu diwujudkan dalam rupa dan bentuk bahan yang bertransformasi dan bersifat artifisialiti. Ia tidak lagi asli atau original. Kerana realiti keaslian atau kemurnian itu tidak akan berulang ruang masanya telah dibebas atau diliberalisasikan sebagai mana yang ditegaskan Francis Fukuyama dalam konteks “Universal History”. Dalam konteks pantun, idea itu boleh ditafsirkan sebagai idea daripada seseorang pengarang pantun (lama atau baru) itu akan dilupai pada zaman lainnya.

Perpanjangan daripada idea ini, serupalah juga dikatakan bahawa medium pantun  itu akan dilihat dalam situasi baru, iaitu situasi alternatif  atau  eksperimen dalam konteks yang berbeza. Ia mungkin mengalami transformasi bentuk dan semangat pantun yang lebih dinamis dan moden, iaitu melalui proses penciptaan medium berangkap yang tidak lagi konvensional, dengan segala keterikatan atau pantang larangnya, tetapi dalam keadaan yang fleksibal, mekanistik atau berteknologi sebagai petanda atau alamat kesejagatan dan keantarabangsaan. Ia tidak lagi memiliki acuan yang kaku. Dalam hal ini pantun tidak terkecuali. Bentuknya boleh dicairkan mengikut konteks dan konsep yang diingini.

Benarkah pantun amat terikat ciri baitnya, atau sangat kebal bentuknya. Atau bentuknya sukar untuk diceroboh. Benarkah? Kerana kadangkala kita mengandaikan bahawa  pantun kebal dengan acuan ketat (orthodoksi) ciri kepantunannya, iaitu 4 bait dengan 9 sukukata yang konsisten atau bentuk yang mana terbiasa. Namun selagi kita melihat struktur atau acuan pantun itu boleh ditulis kembali, selagi itulah kita akan mampu mempunyai keserasian dengan rupa bentuk alam alaf baru, alam terkini atau perspektif alternatif, atau keselarian emosi dan perasaan dengan apa jua rupa bentuk produktiviti dan artifisialiti terkini. Bahkan, pantun Melayu mampu lahir dalam konteks semangat, “aura” atau “roh” puisi tradisional yang lebih dinamik dan unik.

Konvensi  dan Libralisasi Pantun

Secara konvensional atau tradisinya kelihatan sesebuah pantun asli, bertipa induk atau beracuan itu amat statik. Bentuknya tetap tidak berubah sedikitpun atau non-conformist strukturnya. Kerana itulah segala “pantang larang,” ciri  binaan bait dan suku kata menjadi sebahagian “maruah” bentuk pantun yang konsisten. Pantun amat setia dengan ketetapan binaan atau strukturnya, berangkap dan 4 atau 6,8,10 baris dan sebagainya. Pembayangnya muncul daripada sumber alam di daerah atau bumi Melayu. Bunyi di bahagian maksudnya berseimbangan intonasi, berselangseli atau berasonansi dengan bunyi pada hujung pembayangnya. Tiada pembaziran atau nuansa kata atau pengucapan dalam strukturnya. Ia mempunyai mesej yang biasanya mendalam atau simbolik maksudnya. Irama pengucapan yang konsisten rentaknya diserap ke dalam maksud kata yang bermoral, terumpama atau terkias secara halus. Secara moralnya, kehebatan penciptaan sesebuah karya pantun itu terletak apabila ia dicipta oleh penggubahnya secara spontan, sebagaimana dalam berbalas pantun. Seseorang pemantun yang hebat merupakan seorang pemikir, jurucakap atau pendebat yang pantas menjawab, cekap memberi maksudnya, serta dapat pula menepis asakan pemikiran lawannya dengan tepat dan tajam.

Secara tradisionalnya eseorang pemantun itu mempunyai kecekapan dan kepantasan untuk mengemukakan pemikirian dan sensitivitinya melalui keterlangsungan pembayang-maksud,  atau pun kehebatannya menampilkan  kesemua ciri  dan konvensi pantun yang telah disebutkan. Penciptaan yang hebat adalah diukur melalui kelibat sensitiviti yang berterusan dari idea dan perlambangan kepada dominasi mesej atau makna yang diungkapkan. Apakah ini suatu “norma” dalam proses penciptaan yang standard atau semulajadi, dan suatu kepercayaan mengenai proses penciptaannya? Melalui norma ini, ciri asal atau konvensinya akan sentiasa terpelihara dengan segala bentuk keindahan atau keunikan yang boleh dipertahan dan dikekalkan. Ia terus menjadi sebahagian daripada sejarah seni budaya, khazanah dan maruah penciptanya. Tetapi sekiranya kita yakin bahawa sesebuah pantun adalah sebuah medium puisi kreatif dan komunikatif, maka pemikiran sedemikian tidaklah memberi apa-apa keaiban atau keburukan untuk mencipta pantun mengikut pemikiran alam kehidupan harian kita sendiri. Jika tidak, karya pantun sekarang kelihatan janggal daripada realiti – situasi dan persekitaran sebenar kehidupan kita, kerana kita tidak lagi tinggal dalam persekitaran alam semulajadi.

Secara logiknya, sesebuah karya seni umumnya dipengaruhi atau dikondisikan oleh proses kreatif dan bersifat imaginatif-estetik. Namun, setiap genre  karya seni atau kreatif tidak dibekukan oleh situasi dan intelek atau kepintaran pemikiran. Karya kreatif yang dinamis sentiasa hidup segar dengan ruang waktunya. Ia seharusnya dinamik dan progresif dan hidup subur bersama masyarakat kontemporari dan penggunanya. Ia mampu memaparkan sebarang kemungkinan rupa bentuk dan sifat. Ia mungkin anti-konvensi atau anti-estetik. Ia mungkin mementingkan mesej dan makna dengan cara yang kritis, atau secara halus, “sublime” dan bersahaja. Sejauh manakah sesebuah pantun membuka ruang kepada peralihan citarasa penciptanya, iaitu perubahan secara alternatif untuk dimensi dalamannya, adalah antara aspek alternatif atau transformasi pemikiran yang dihajati oleh seseorang penggubah. Pantun kontemporari mampu mengubah ciri fono-estetik yang stereotaip atau daripada tipa induk yang konvensional, kepapda suatu penyatuan atau sinkronisme (deSaussure) struktur rujukan semiotik yang lebih konkrit seperti tanda, petanda, kepertandaan yang lebih segar, moden, dan pragmatik .

Pantun boleh digerakkan dalam bentuk permainan kata yang dinamik. Pantun boleh dieksperimenkan kepada bentuk yang statik dan tertutup kepada yang lebih terbuka, abstrak dan berimaginatif, iaitu bergantung kepada konteksnya. Dalam ungkapan dua baris ini pun sudah cukup untuk menggambarkan kehebatan bentuk ritme diksi pantun, iaitu perkaitan bunyi atau aliterasi, yang memperlihatkan hubung kaitan dan timbangtara, nada dan irama via intonasi / artikulasi bunyi antara pembayang dengan maksudnya yang mencuit hati dan perasaan:

Gendang gendut tali kecapi

Kenyang perut suka hati

Siakap senohong gelama ikan duri

Bercakap bohong lama-lama mencuri

Pantun adalah media komunikasi yang paling bijaksana dan bernas dalam masyarakat Melayu. Kata-katanya yang terpilih dan tersusun, mengikut pengalaman, citarasa, persepsi, perasaan dan konteks seseorang penggubahnya. Dalam konteks ungkapan di atas misalnya, orang yang “suka hati” itu mesti “kenyang perut” walaupun mungkin masih banyak lagi faktor lain yang boleh menjadikannya “suka hati”. Namun walau dalam apa situasi pun, pantun tetap memaparkan kebijaksaan penggubahnya dalam menghubungkaitkan antara petanda, pertandaan atau maknanya menjadi hak kepengarangan dan kebijaksanaannya.

Pantun biasanya disampaikan secara berseni (berpasangan, beritma, berasonani, berdendangan, beralunan, bermelodi) kerana bahasanya yang padat dan terhad bilangan suku katanya.  Pantun  sangat halus bentuk penyampaiannya dengan makna yang penuh berhemah dan berlapik atau berkias. Kadangkala berumpamaan dan bersindiran, berseloka, lembut, tajam dan kerap menusuk ke dalam jiwa dan alam imaginasi. Pantun juga disampaikan secara penuh sopan santun di antara pemantun atau penyampai dengan pendengar atau penyambutnya, yang mana rangkap pembayang menyangkuti intipati alam dan masih patuh mendahului mesejnya. Serta membayangkan hasrat dan maksud pemantunnya secara tersembunyi dan menyidir  dengan  pintar.

Namun intonasi suara pembaca tidak semestinya stereotaip, ia masih boleh dibaca mengikut “mood” atau situasi di mana pengucapan itu dilakukan. Inilah keadaan kebarangkalian struktur dan penadaan yang boleh diperlakukan terhadapnya. Namun pantun juga boleh beraltenatif maksudnya mengikut kegemaran atau citarasa penggubahnya. Atau jika dimahukan oleh penggubahnya, pelbagai pilihan skala kata dan idea alternatif, susunan elemen “permainan” bunyi dan imaginasi, atau kebebasan skima kata boleh dilakukan sebagaimana berikut:

Pada masa dunia sedang berkembang moden sekarang, walau pun semangat pantun tidak seceria dan segalak dahulu. Apatah lagi ia tidak mungkin dapat mengatasi program media baru di telivisyen ASTRO, animasi atau video atau lain-lainnya, tetapi wajah moral dan imejan alamnya masih terkesan di mana-mana. Misalnya, imejan pantun masih timbul tenggelam dalam sajak moden dan lirik lagu Melayu moden. Semangat alam ini, masih dapat dilihat dalam bentuk pokok hiasan bangunan sebagimana terpacaknya beberapa batang pokok kelapa di tengah bandar metro Kuala Lumpur, atau berhampiran premis makanan segera.  Menariknya masih ada orang yang mahu tinggal bersama persekitaran alam yang tradisional sifatnya, dan tidak mahu meninggalkan terus “angin” atau “ambiens” alam desa walaupun semasa tinggal di kota. Mungkin masyarakat Melayu masih rindu pada pantun, yang akan mengimbau kenangan kepada alam tumbuhan atau flora yang menjadi identiti alam tempatan. Kerana itulah terdapatnya persekitaran yang masih menyemai benih, tumbuhan atau “pokok” pantun di mana-mana tempat pun. Di persekitaran rumah mewah Melayu masih terpacak pokok kelapa, pisang, pinang, limau purut, serai, langkuas, nangka, ubi kayu dan sebagainya.

Benarkah? Pantun tidak akan mati selagi ia menjadi asas dan teras puisi Melayu, dan selagi masih ada penulis atau pengarang yang ingin berpuisi. Pantun sudah menjadi sebahagian daripada prinsip dan hukum puisi moden Melayu khususnya tentang fono-estetiknya yang ritmatik dan skimatik yang mempunyai keselarian puitika dan estetiknya pada kalimah Al-Quran.  Pantun dan masyarakat tidak boleh dipisahkan kerana masih lagi wujud tanda-tanda keramat alam atau semangat tumbuhannya di seluruh pelusuk tanahair (padi, ubi, nangka, pisang, pandan). Benarkah masyarakat sekarang sudah melupai pantun, atau sekadar menukar selera untuk menggunakan media selain pantun bagi tujuan berinteraksi, berhibur, berkomunikasi, bernasihat dan bermotivasi. Atau kita sekadar bernostalgia dengan imejan alam yang terdapat dalam pantun Melayu.

Adakah pantun hidup bersama situasi zamannya atau ia sekadar suatu bentuk presentasi, pemikiran dan komunikasi yang sinonim dengan persekitaran tradisional dan feudal zamannya . Jika ciri utama pantun sebagaimana asalnya masih dipertahankan, maka bentuknya akan kekal konvensional, malahan pada masa yang sama akan kehilangan sensualiti alam zamannya. Jika berterusan dipadukan bersama suasana alam tradisionalnya, maka ia hanyalah suatu bentuk penampilan nostalgia, zaman kenangan silam, dan menjadi hambar dalam konteks masakini yang progresif, asing dan moden.

Namun penonjolan alam yang tradisional, di luar konteks zaman, akan hilang kebitaraannya, atau tidak lagi berlestari. Dalam era  kemodenan tiada pantun yang boleh dilihat dunia dan alam tradisionalnya dalam keadaan total, kerana bayangan atau hamburan  pembayangnya telah diterjah oleh persekitaran terkini pascamoden atau keantarabangsaan, yang telah difremkan oleh dunia inovasi dan teknologi.

Apartmen mewah dinding kaca

Bebunga kertas di gazabo

Main politik lantang suara

Suka berjanji main tabur

Rumah kaca aura Atlantik

Maskare fesyen bunga kertas

Rupa bergaya paras cantik

Kerjanya tip-top ada kelas

Bunga kertas Laut Pasifik

Selat Melaka tak gelora

Jaga diri jangan fasik

Minta jauh azab sengsara

Bunga kertas merah sekonder

Frem aluminum ultra ungu

Visi misi datang mengalir

Dunia global haru biru

Proses Penciptaan dan Situasi Kepascamodenan

Dalam teks ini mungkin disentuh mengenai proses penciptaan yang dialami atau dilalui oleh seseorang penulis dengan beberapa pertanyaan. Siapakah penggubah pantun atau pelbagai jenis ragam puisi lainnya. Kita dapat menekanya mungkin dicipta di zaman yang belum berteknologi tinggi seperti sekarang, di mana interaksi secara lisan dan interpersonal berlaku, masyarkat kita belum dinamik, kita belum terdedah dengan  kedinamikan industri dan teknologi. Seseorang penggubah pantun yang menulis di zaman Melaka misalnya, tidak mempunyai pengalaman serupa seperti yang kita alami. Begitulah seorang penggubah sekarang tidak lagi hidup di zaman Munsyi Abdullah, Tun Sri Lanang, Bendahara Tun Perak dan sebagainya. Pengalaman dan persepsi kita terhadap dunia sendiri dan dunia luar sudah jauh berbeza.

Sudah ramai masyarakat Melayu yang tinggal di kota besar atau di luar negara. Sebahagian daripada penggubah pantun kita mungkin tinggal di bandar, misalnya Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Singapura, London atau New York, Bangkok atau Shanghai, Jakarta atau Istanbul, Jeddah atau Mekah? Apakah seseorang penyair, pencipta, pelukis, atau pemantun itu semestinya tinggal di bandar semata-mata. Apakah dalam zaman yang serba moden ini tiada keperluan ruang untuk bergerak  di luar kampung, pekan atau bandar kecil. Apakah pengalaman di bandar, di kota besar di luar negara serupa dengan pengalaman suasana di luar bandar atau pendalaman?

Masyarakat Melayu, yang menjadi “pemilik” dan “pengguna” pantun, sebenarnya telah terbudaya oleh keadaan masa melalui pelbagai kaedah atau mekanisme. Antaranya yang jelas masyarakat Melayu telah diproseskan oleh sistem penjajahan dan pedidikan, budaya, persekolahan dan keilmuan,  komunikasi, perdagangan, perniagaan, hubungan antarabangsa. Pemikirannya dilingkungi oleh pengaruh yang didepaninya. Mereka tidak lagi tinggal bersama rumput rampai, pokok, sawah padi, danau, bukit bukau, teratak, pondok atau alam desa lainnya. Di persekitaran baru mereka dibayangi dan dipenuhi imejan asing dan buatan, iaitu bermesra dengan persekitaran dan objek yang telah diproses, dimesin atau diindustrikan.

Sepertimana karya kreatif yang lain, cerpen, novel, drama, muzik, catan, grafik, cetakan, animasi, filem  dan sebagainya, pantun adalah produk daripada idea kreatif  yang berjiwa dan berlandaskan nilai Islam. Sememangnya pantun dilahirkan dalam lingkungan dunia kepengarangan dan kebatinan Melayu Nusantara dengan nilai  estetika yang bersifat Melayu-Islam dan Mistik-Nusantara. Di dalam pantun terdapat keserasian unsur diksi, resonans bunyi, nada-irama, thamsil-ibarat yang bermirip kepada ayat suci Al-Quran.

Daripada sudut akademik dan intelektualnya Muhammad Haji Sallleh telah menghuraikan aspek falsafah dan stailistik, perlambangan dan pentafsiran pantun di Nusantara dengan jelas dalam buku terpentingnya “Permata Di Rumput, Gilang Sastera Sebagai Ruang Bangsa,” (M.H.Salleh, DBP, 2008).  Muhammad Haji Salleh berpendapat bahawa pantun dibina dan diungkap melalui pemadanan dan keselarian kata atau pemadanan bunyi alitrasi dan asonansi yang sesuai dan berisi. Idea dan pemikiran mesejnya disusun mengikut keserasian pengarang atau pemikirnya. Muhammad Haji Salleh menyifatkannya sebagai susunan hamonis. Keharmonian atau timbangtara diksi, intonasi, mesej dan makna perlu seimbang dan tidak sumbang atau janggal. Oleh itu pantun itu semestinya mempunyai peraturan atau ketetapan yang stailistik yang kukuh, tersusun dan berperaturan atau beradab, iaitu terikat dengan peraturan keserasian bunyi dengan maksudnya. Komponen keserasian bunyi dan mesej, ataupun maksud dan makna ini menjadi penentuan tentang kehebatan atau idealisme sesebuah pantun.

Bahkan aspek struktur dan stailistik, khususnya elemen fonoestetik (Palmer) antara pembayang dengan maksud ini sangat sarat dalam penulisan “puisi baru” Amir Hamzah atau Muhammad Yamin, dan angkatan Punggok. Malahan, pada bayangan kata, perasaan dan semangat puitis pantun ini amat simbolik dalam puisi “meditasi” atau kebatinan Latif Mohidin (antologi: Sungai Mekong). Ia adalah suatu hasil kerja kreatif yang boleh diatur dan dipelbagaikan pengucapannya secara acuan tradisional dalam acuan bait dan konteks modenis yang terbuka. Yang penting adalah mesejnya disampaikan secara skimatik dan konsisten melalui logik puisi tradisional.

Pantun adalah media komunikasi yang biasanya disampaikan secara lisan, berseni, dengan makna yang berhemah, tidak kasar atau robus. Pantun adalah suatu bentuk komunikasi di dunia Melayu yang disampaikan penuh sopan santun kepada pendengarnya. Walau pun pantun tidak ceria dan galak suasananya sepertimana media filem, animasi atau kartun, filem cereka atau fotografii dokumentari,  tetapi imejannya masih terkesan di dalam lagu-lagu kontemporari Melayu. Masih ada orang yang  tidak melupai pantun, cuma bezanya orang lebih suka menulis bait sajak atau lirik lagu yang dimelodikan dan tidak pula berpantun.

Namun persekitaran alamnya yang tradisional, yang mana rangkap pembayangnya masih membayangkan hasrat dan “niat” mesej pemantunnya tersembunyi, terpendam. Pantun yang kasar gaya pengucapannya akan melenyapkan kebijaksanaan, akan hilang kebitaraannya, atau tidak lagi lestari. Dalam era  kemodenan dan industrialisasi pantun mungkin menemui alam baru yang tidak lagi tradisional imejannya. Pembayangnya mungkin berada jauh di perantauan menyeberang lautan belantara atau benua (Muhammad Haji Salleh: “Sajak-Sajak Pendatang”). Pantun era baru pascamoden tidak lagi beracuankan pantun tradisional kerana suasana dan penyampaian alam pembayang boleh berubah mengikut kontek dan pemikirannya. Pembayangnya tidak mempunyai model atau paradigma yang khusus. Sebaliknya ia merupakan bentuk wacana yang berteka teki, permainan idea atau percubaan imaginasi.  Ia mungkin digubah dalam kecairan ruang alam, subjektiviti dan jangkaan yang tidak lagi memperlihatkan pengalaman “alam semesta” Melayu dalam keadaan total, stereotaip dan tipikal. Kerana bayangan alamiahnya telah diterjah oleh persekitaran pengindustrial, pengkomersialan atau keantarabangsaan, yang telah dikepung oleh dunia inovasi dan teknologi yang semakin hebat pembangunannya.

Dari Cape Town ke Osaka

Singgah sebentar Kota Paris

Kalau di hati sudah suka

Kata apa semua manis

Dari Waterloo ke Peranchis

Main golf di seberang selat

Kalaulah kita rajin praktis

Main apa pun duit dapat

Pantun dan Kepascamodenan

Sejak kedatangan sistem pendidikan moden ke tanah air, pandangan kita terhadap alam sekeliling kita mengalami perubahan. Pemikiran kita menjadi lebih saintifik dan terbuka. Ia diubah mengikut matlamat dan acuan ilmu pengetahuan Barat yang berkembang mengikut sistem pendidikan dan keperluan masyarakat moden. Sistem pendidikan moden telah memberikan pemikirian dan kefahaman baru tentang alam dan kehidupan.

Alam semulajadi telah mengalami transformasi fisik dan kefungsian. Produk alam telah diproses melalui pengetahuan dan kekuatan mesin,  teknologi dan produktiviti baru, dan berubah ciri fizikalnya menjadi bahan yang bersifat materialistik. Bahan alam dimoden dan dipermodenkan, ditransformasikan menjadi bahan moden. Alam dilihat daripada perspektif ilmu pengetahuan sains-teknologi, proses biologi, produktiviti dan komersial, atau dlihat daripada sudut pengalaman kemodenan tetapi tidak daripada perspektif  emosi, kederiaan atau ketaakulan. Dalam beberapa situasi, bahan dari alam telah diproses dan dipelbagaikan jisimnya iaitu untuk memenuhi ktriteria dan beridentitikian “pluralisme” rupa atau “diversiti” jatidiri.Namun setiap sumber alam yang diproses itu masih wujud ciri keaslian di dalamnya. Barangkali keadaan inilah yang menjadikakn imejan alam dalam kehidupan harian kita sekarang masih segar, dan menjadi sebahagian kenangan, “reminiscence” atau nostalgia masa silam. Cuma ia wujudi dalam ruang waktu yang berbeza.

Dalam konteks falsafah Barat seseorang yang patuh atau setia dengan sifat keaslian alam adalah seorang naturalis, kerana ia mentafsir alam melalui pemikiran, akal, dan perasaan yang bersifat  deria-pentaakulan (sense-perception). Seorang penggubah pantun boleh dianggap sebagai tidak mempunyai konteks sosial seperti poliitik, ekonomi, atau sains-teknologi kerana pencariannya tidak bersifat emperikal, ujian fizikal atau kemakmalan. Pemikir tradisionalis tidak memerlukan jawapan yang sosialistik atau saintifik, atau penganalisaan data dan statistic kerana apa yang dicari dan diberikan hanyalah jawapannya secara kesimpulan umum (reduction), dengan tidak melalui kaedah yang saintifik, misalnya ujian makmal, bio-kimia, budaya tisu dan sebagainya.

Mungkin antara unsur alam dalam pembayang pantun yang paling akrab dengan pemantun ialah pokok kelapa. Sememangnyalah pokok kelapa menjadi rakan kampung yang paling rapat dan akrab. Tiada kampung atau desa yang tidak ditanam dengan kelapa. Deretan pokok kelapa di tengah ibu kota sekitar PWTC misalnya, memainkan fungsinya sebagai objek asing yang sekonder dan menjadi alat perhiasan, bukan penyumbang kepada budaya dan tradisinya di desa (misalnya buah menjadi bahan rutin untuk mengukur umur kelahiran, petua mengandung oleh bidan, sarang tempua dan sebagainya)  . Ia ditanam mengikut rekabentuk pereka taman atau landskap. Tidak lagi sebagai tumbuhan liar atau tumbuhan desa. Konteks dan signifikannya telah berubah. Ia menjadi bahan estetik pertamanan. Persekitarannya juga berubah dan ia tidak lagi hidup dalam suasana desa yang aman dan segar. Tetapi ia hidup dalam situasi yang kekotaan, keantarabangsaan dan pluralistik.

Pantun kontemporari  tidak lagi memiliki pembayang alam pada masa silam kerana imejan alam dalam pantun memang sinonim dengan persekitaran masyarakat Melayu. Masyarakat Melayu moden tidak berkampung bersama alam tetapi telah bertemankan tanaman komersial, import dan global. Masyarakat Melayu  tradisional sememangnya “masyarakat alam” dan tinggal dalam kebitaraan tumbuhan tropikal yang tebal di perkampungan atau pendalaman yang natural sebagai “manusia alam” atau “natural man,” kerana situasi dan persekitaran mereka sememangnya sebegitu tanpa pembangunan. Alam semulajadi adalah amat akrab dengan masyarakat tradisional Melayu dan menjadi nadi dunia pantun. Oleh kerana alam itu cantik kerana kesempurnaannya yang dicipta Tuhan, maka pantun amat sukar untuk dipisahkan dengan suasana dan wajah alam.

Masa terus berubah dengan berubahnya cara berfikir, pemikiran saintifik, persepsi baru tentang kehidupan, iaitu dengan adanya kemajuan sains dan teknologi. Kita adalah sebahagian daripada warga environmen agro-teknologi, bioproses, budaya tisu dalam pertanian, genetik produk tumbuhan atau tanaman bergenrik baru. Kita berdepan dengan peralatan dan hasil pembuatan produk baru melalui penemuan R&D sains dan teknologi. Pengalaman persekitaran kita dihiasi dengan objek atau benda daripada pemprosesan alam yang direka dan dicipta oleh manusia. Semuanya menambah dan memperkayakan pebendaharaan kata kontemporari yang baru dan realistik untuk pantun. Alam artifisial, atau alam buatan manusia ini sudah menjadi sebahagian daripada suasana alam baru masyarakat Melayu masakini. Sebahagian masyarakat Melayu hari ini terdiri daripada orang Melayu moden dan elitis. Mereka memiliki rumah mewah  dan tidak lagi tinggal di rumah atap nipah, atau pondok usang.

Adakah  pantun  tidak indah, tidak menarik, tidak menawan, tidak bijaksana jika menggunakan pembayang bukan daripada tumbuhan tempatan sahaja. Bagaimana kalau digunakan tumbuhan dan buahan Sub-Tropika-Mediterranean-TimurTengah yang telah mesra dengan kehidupan harian kita seperti kubis, asparagus, anggur, ceri, strawberi, epal, kiwi, longan, gandum, barli, kurma, dan sebagainya? Alam dari tumbuhan dan buahan import itu sudah pun menjadi makanan lumrah dengan selera pemakanan tempatan. Oleh itu pertimbangan tentang mengambilkira imejan dari alam asing yang telah menjadi sebahagian pengalaman harian kita sebagai suatu realiti pembayang pantun kontemporari. Mungkin pembayang pantun diperluaskan lagi dengan mengambil model alam buatan atau tiruan, misalnya bunga dan daun plastik, barangan kraf, bunga perak dan celupan emas, kaca tembikar, barangan batu dan marmar dan seterusnya.

Pantun perlu dibaca, diucap atau disampaikan dalam bentuk baru, iaitu bentuk yang lebih segar, inovatif , malahan lebih futuristik. Apakah pantun tidak perlu dielektronikkan atau dianimasikan, divideo atau difilemkan untuk masyarakat yang memiliki teknologi digital. Ia perlu digabungkan dengan pelbagai trend sajak moden, penceritaan kisah atau senikata lagu puitis. Bahkan sesebuah pantun boleh digabungkan dengan dunia muzik dan elektronik, seni lukis atau grafik digital.

Adakah kita perlu mengasingkan kreativiti dan  inovasi daripada dunia pantun? Rupa bentuk objek dan environmen, produk pembuatan dan teknologi masakini tidak lagi natural sifatnya, tetapi merupakan produk hasil daripada kemampuan dan kecanggihan dunia teknolog atau produk industrial. Pantun tradisional tidak mempunyai pengalaman baru sebegini. Oleh itu pantun tradisional tidak mengambil kira objek sebegini sebagai pembayang walau pun pada umumnya  objek ini mempunyai kekuatan dan mampu menarik serta memikat hati kita. Namun, para penggubah pantun moden mungkin tidak memilih atau menghargai inventori objek baru. Bukan menjadi sesuatu yang ganjil terdapatnya lanskap pohon kemboja yang menghiasi taman santai KLCC, dan pohonnya bukan sekadar subur dipinggir kuburan sahaja:

Tinggi menara KLCC

Reka cipta Pelli Cereco

Kritis inovatif idea berisi

Cerdik intelek jiwa lohor

Tinggi menara KLCC

Taman santai bunga kemboja

Tempat KL Jalan P.Ramlee

Nampak cantik sangat teruja

Latar belakang dan persekitaran sosial masyarakat Melayu telah mengalami perubahan besar dan dihuni serta dikelilingi pelbagai bahan buatan dan berteknologi. Pastinya  banyak objek dan environmen moden dalam persekitarannya yang sudah  akrab tetapi sudah berbeza dengan yang konvensional. Alam kita terdiri daripada objek harian dengan paduan   pelbagai species tanaman dari daerah asing yang menemani hidup kita. Ia menjadi sebahagian daripada milik peribadi dan hidup subur dalam kawasan atau tempat tinggal yang eksklusif. Tanaman dan buahan ini memberi rupa bentuk baru yang berkontras, atau suatu pengalaman eksotisme baru daripada segi elemen dan imejan visual, dengan rupa bentuk, warna, fungsi yang menarik.

Dalam situasi kepascamodenan masakini yang global sifatnya, kita mempunyai andaian dan penilaian baru terhadap pantun. Mesejnya tidak lagi bersifat statik atau jumud sifatnya tetapi boleh dipersoalkan realitinya. Sebagai contoh, benarkah maksud pantun “budi baik”hanya “emas juga dipandang orang”? Atau masih ada pilihan, kegemaran atau bukti lain “yang dipandang orang?” Kita boleh berwacana tentang mesejnya dengan meneliti gambaran alternatif terhadap isu “budi” sebagaimana berikut:.

Tentunya sebuah pantun yang sudah klasik, terkenal atau mendarah daging dalam perasaan kita boleh ditulis atau dilukiskan semula dengan teknologi. Penggunaan tanda atau simbol moden menjadikan rupa bentuk pantun itu lebih artistik, imaginatif dan dinamik . Pantun terkenal “Pulau Pandan” mengenai budi boleh ditransformasikan melalui imejan kontemporari dan pascamoden dengan rupa bentuk visual yang bertenaga. Malahan imejan bertenaga ini boleh dipelbagaikan skala atau dimensi imaginasi dan fantasi kebatinannya mengikut keserasian visual seseorang penggubah dengan cara yang arbitarari atau liberal.

Pantun Pulau Pandan

Nostalgia Pantun dan Imejan Metropolitan: Kerinduan Alam

Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Ipoh dan Johor Bahru merupakan bandar metropolitan. Sebagai bandar metropolitan, gaya hidup warganya tidak lagi bercorak monosentrik,  tetapi lebih bersifat kepelbagaian etnik atau bangsa.  Bangunan yang tinggi menjadi lambang mercu tanda dan kemegahan syarikat tempatan atau antarabangsa. Di sini wujudnya pelbagai syarikat multi-nasional atau antarabangsa, yang turut mencoorak imejan seni bina tempatan. Supermarket  atau pasaraya utama menjual pelbagai jenama barangan dan imejan komersial mereka bersaing antara satu dengan yang lain.

Pada waktu malamnya, kebanyakan lokasi utama di kota besar dihiasi pelbagai rupa lampu neon atau LED elektronik, dari pelbagai warna dan ciri hiasan moden. Turut menghiasi persekitaran moden ini ialah imejan grafik dan digital elektronik pascamoden, yang  kerap terpapar pada dada iklan atau papan “billboard” dengan imejan yang menggoda dan disensasikan. Imejan yang terdiri daripada produk asing  turut menghiasi daerah dan ruang budaya Melayu di daerah pendalaman. Wajah desa dan kampung telah dielektronikkan oleh arus pembangunan, kecanggihan kejuruteraan dan teknologi. Apabila bersiar melalui jalan di sekitar Jalan Putra misalnya, kelihatan terpacak dan terpampang beberapa bangunan moden di sekitarnya. Antara bangunan yang menarik ialah bangunan hotel dan apartmen mewah, Bangunan PWTC, Hentian Putra, Stesen keretapi LRT-PWTC dan sebagainya. Semuanya memberikan pengalaman visual yang oksidental dan tidak lagi berupa pengalaman tipikal pondok desa yang “rustik” atau lapuk.

Kawasan PWTC ini agak signifikan dengan aktiviti politik tanahair dan sinonim dengan politik Malaysia, kerana di kawasan inilah tempat perhimpunan dan mesyuarat agung salah sebuah parti politik arus perdana yang terkenal. Namun, menariknya kawasan ini ialah dengan adanya beberapa batang pokok kelapa yang ditanam menjadi hiasan sekitarnya. Pokok kelapa masih ditanam oleh pihak pengurusan bangunan dengan fungsi utamanya sebagai hiasan dan tontonan. Kawasan ini bukan lagi sebuah perkampungan, tetapi sebuah penempatan moden dan mewah yang terletak di kawasan eksklusif di Kuala Lumpur.  Bahkan kawasan ini dikelilingi oleh apartmen mewah yang bersifat keantarabangsaan.

Kehadiran pokok kelapa ini mengingatkan pembayang popular yang terdapat dalam pantun Melayu. Pokok kelapa ini memberi gambaran, atau indeks tentang aspek budaya orang Melayu yang sememangnya akrab dengan tumbuhan berkenaan. Namun begitu, kehadiran pokok kelapa di beberapa lokasi di sekitar Kuala Lumpur, misalnya di Taman Tun Dr.Ismail, atau pun penanamannya di Bandar Baru Bangi berhampiran Kuala Lumpur adalah fenomena alam tumbuhan masyarakat Melayu yang nampaknya tipikal atau terlumrah. Pokok ini bagai tidak dapat terpisah daripada perasaan kemelayuannya. Apakah sebuah pantun masakini yang ditulis di persekitaran sebegini akan menonjolkan imejan desa di pendalaman sebagai pembayang yang dipenuhi dengan dunia alam pokok pisang, kelapa, nangka, padi, keladinya?  Atau pilihannya berubah kepada buah ceri, strawberi, epal dan anggur?

Dalam konteks puisi tradisional pantun, kita akan terpanggil untuk mengaitkan kehadiran beberapa batang pokok kelapa, sebagai refleksi elemen pembayang di dalam pantun. Kita mungkin mempunyai beberapa reaksi spontan untuk berpantun dalam keadaan atau situasi sedemikian. Mungkin  wajar kalau dituliskan beberapa bait pantunnya sebegini, bagi suatu gambaran peribadi dan pengalaman kreatif yang romantik di tengah kota metropolitan:

Pokok kelapa di Pasifik.

Nampak pucuk di Stesen Pudu

Nikmat sungguh cinta berasyik

Bagai malam berbulan madu

Pokok kelapa memang banyak di tanam di pinggir Hentian Putra yang terletak bersebelahan bangunan PWTC. Pengalaman peribadi akan menjurus kepada bangunan Hentian Putra dan nama sebuah hotel yang sinonim dengan Lautan Pasifik bersebelahannya:

Pokok nyiur Laut Pasifik

Nampak mayang Hentian Putra

Nikmat sungguh berkasih asyik

Bagai api sedang gelora

Malahan di suatu ketika dahulu terdapat pusat membeli belah yang terkenal di bangunan apartmen dan hotel. Dahulunya, di sinilah antara pusat membeli belah yang sangat popular dengan anak muda dan warga Kuala Lumpur yang kerap singgah  di kawasan ini. Namun, pasar raya yang dikenali sebagai The Mall ini masih memiliki gudang yang besar dan menarik, dan masih ramai anak muda yang singgah, bersantai, membelibelah atau menyaksikan pelbagai pameran di tempat ini. Beberapa bait pantun mungkin dapat memberi gambaran tentang keadaan tempat ini pada masa sekarang:

The Mall dekat Pasifik

Pokok kelapa daun pinang

Sangat payah bencikan adik

Bila jauh makin sayang

Atau beberapa bait pantun lagi di mana alamnya adalah berlatarbelakang produk teknologi, persekitaran korporat dengan pelbagai sentuhan bentuk seni bina atau suasana penampilan fizikal keantarabangsaan. Bahkan imejan metropolitan itu semakin dekat dengan ingatan dan perasaan kita yang kerap melalui kawasan ini:

The Mall depan pokok kelapa

Jauh dari Hentian Pudu

Bersantai jangan diri lupa

Anak isteri ambillah tahu

Pantun dan Imejan Pascamoden

Struktur  dan imejan pantun Melayu yang ditulis oleh penulis Melayu di Nusantara sangat indah dan gemilang alamnya. Naturalisme atau “alam semesta” menjadi sebagai struktur pakej kepada bentuk yang membina pembayangnya. Penelitian penggubah terhadap alam sejagat amat kebatinan atau transendental, yang mensimbiosis serta  mengaitkan ruang mistik kesemestaan alam ke dalam pakej pengalaman hidup dan mesej moralnya. Pembayangnya menjadikan kedua-dua baitnya sebagai suatu wacana imaginasi dan permainan makna yang berkontekstual. Pendengar yang tidak biasa dengan pencarian mesej pada sesebuah pantun itu akan mengakibatkannya bertekateki konteksnya. Oleh itu kedua-dua bait pembayang dan maksudnya boleh dieksploitasi dan dihayati mengikut pengalaman dan keserasian yang seimbang dengan rangsangan awal yang terdapat dalam pakejn pembayangya.

Pantun Melayu tradisional memprojeksi rupa bentuk tumbuhan atau flora alam Melayu tradisionalnya. Ia digubah secara harmonis, iaitu mengikut pilihan dan intonasi kata yang beritma atau bermelodi, dengan memaparkan segugusan tumbuhan mengikut kaitan yang sesuai dengan alam persekitaran yang terdapat di tanah air kita sendiri. Rupa bentuk alam itu dipadan atau disusunkan secara simbiosis mengikut kesesuaiannya. Kedua-dua baris bait pembayang itu saling berintegrasi dengan memperlihatkan keserasian mood dan emosi semasa pantun itu diungkapkan:

“Buah cempedak di luar pagar

Ambil galah tolong jolokkan”

“Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga”

“Sorong papan tarik papan

Buah keranji dalam perahu”

Namun, apakah pembayang pantun yang tradisional atau asli itu tidak boleh berpisah dengan penonjolan realiti alam fizikal atau naturalnya?. Seolah-olahnya apabila seeorang penggubah mengarang pantunnya, unsur alam di daerah tradisional itu tidak boleh berubah dan imejannya perlu dipaparkan seperti dahulu juga. Namun adakah dalam membina struktur pembayang pantun, elemen naturalisme “flora dan fauna”, atau tumbuhan, serangga dan binatang itu hanya perlu dirujuk pada imejan yang  terdapat di tanahair kita sahaja? Realiti baru pembayang di luar sempadan tanahair dan budaya Melayu sebagaimana berikut:

“Buah epal buat cekodok

Digoreng dengan minyak soya”

“Pulau Long Island di Atlantik

Empire State kota Manhattan”

“Sup steamboat sotong kereta

Main bowling di Grand Central

Kita mudah menganggap sesetengah tumbuhan di persekitaran kita sebagai satu-satunya rupa bentuk imejan alam Melayu yang sebenar dan sejati. Sebaris pokok kelapa yang ditanam dan hidup di Bandar Baru Bangi atau di pantai Kuala Terengganu tidak semestinya berbeza dengan yang ditanam di Burma, Hawai atau Thailand. Tentunya pokok kelapa di Burma, Hawai atau Thailand ini boleh “dimelayukan” sahaja mood puitisnya.

Pembayang pantun yang alamiah dan Islamik (kerana mengingati keagungan Allah!) itu disampaikan secara berpadu, simbiosis atau berintegrasi dengan maksud yang hendak disampaikan. Kita mungkin tersilap, kerana tanaman dan tumbuhan yang terdapat dalam pembayang pantun amat universal sifatnya dan ia mempunyai ciri universal yang jelas. Ia boleh tumbuh terdapat di mana-mana bahagian dunia yang tertentu, khususnya di semua kawasan hujan Khatulistiwa. Signifikasi tentang pantun adalah penciptaan pembayang alamiahnya kerana di dalamnya terserlah aspek kemistikan atau kemakrifatannya. Signifikasi itu terletak pada intensiti imejan alam yang kudus, dan pembentukan ritme bunyinya memerlukan pengalaman dan sensitiviti penggubah, memerlukan jalinan dan anyaman kata, pemilihan diksi atau struktur semantik yang cekap, mahir, sensitif, artistik dan unik. Keunikan pemakaian elemen bunyi dari alam yang mistik atau perasaan mendalam menyentuh hati dan aura tumbuhan serta keindahan dan keagungan “tanahair” yang simbolik oleh penggubah dalam mengaitkannya pada mesej atau maknanya, adalah tunggak keutuhan pantun. Itulah bentuk pantun yang sebenar dan ia tetap sejati sifatnya selagi ia masih mempunyai dan mengekalkan unsur kekudusan alam di dalamnya. Perkaitan dengan unsur kebesaran dan kemistikan alam dengan motif moral atau objektif kemanusiaan menggambarkan bahawa pantun adalah milik kepengarangan atau “authorship” Melayu yang hebat.

Sebagai manusia sosial yang dinamik dan progresif, kita tentunya mempunyai kaitan dengan pengalaman antarabangsa dan global dari masa ke semasa memandangkan pergerakan dan perjalanan hidup kita yang semakin canggih, mengikut peredaran zaman atau “up-to-date”. Persekitaran  dan suasana tempat tinggal yang baru sememangnya  terdedah kepada elemen hidup masakini. Kereta, lori, kereta api, kapal terbang, feri, tanaman dan tumbuhan laici, asparagus, atau barangan peribadi basikal, napkin, sepatu roda atau kronik virus yang menghantui dunia kesihatan sejagat.

Desa, kampung,  pekan, bandar dan kota metropolitan yang heterogenus adalah latar sosio-budaya yang sentiasa hidup segar dalam pengalaman harian moden kita. Kita mungkin didewasakan oleh persekitaran alam semulajadi yang sedemikian. Apakah pengalaman ini hanya dibuang daripada kamus pengalaman hidup kita sebegitu sahaja.  Proses perbandaran menyebabkan kita tidak akan dapat berbalik pada pengalaman desa atau pendalaman silamnya lagi, kerana desa juga tetelah dimoden dan diantarabangsakan dengan pelbagai jenis produk universal seperti coklat, biskut, barang plastik, lampu elektrik, komputer, telefon bimbit, kereta, bas dan sebagainya. Kerana dunia buatan itu menguasai  dan menjadi keperluan hidup kita sekarang.  Perjalanan ke desa tidak lagi berakit atau menaiki bot di sepanjang perjalanan, atau tidak juga berperahu.

Kita mungkin tidak memerlukannya sekira ada pilihan. Kita mahukan lebuhraya. Pengelaman itu mungkin sudah menjadi sebahagian daripada susur galur perjalanan sejarah hidup kita. Untuk ke daerah pendalaman pun sudah menggunakan injin dan mesin bot, motorsikal, pacuan empat roda, kereta api atau helikopter, yang kesemua bahannya berasal daripada sumber alam semesta (air, udara, langit, elektron dan elektromagnetik). Mesin dan automasi, teknologi komputer atau digital telah menjadi alat dan sistem perhubungan dan komunikasi alaf baru. Kesemua bahagiannya diproses dan dikaliberasikan bahagian-bahagiannya mengikut kemahiran teknologi manusia. Kita mula hidup berjinak dan bermesra dengan realiti alam yang bertransformasi dan bersintesis antara satu sama lain, yang tidak lagi berada di daerah alam semulajadi yang tradisional. Cuma secara kritisnya, dalam mana-mana perbicaraaan tentang modenisme/ pascamodenisme pemetaan dan penonjolan keseluruhan ciri kesemestaan alam semakin mengecil dalam dunia yang semakin materialistik dan mekanistik ini. Bahkan pembayang pantun semakin menggambarkan imejan alam yang arbitarari, iaitu tentang pergerakan fizikal / jasad yang menjadi semakin berkembang luas di luar daerah atau sempadan geografi yang berselerakan:

Pantai Greenland ada Walrus

Dekat sempadan laut Oslo

Kalau kita berkerja terus

Semua dibuat akan berbaloi

Cape Town banyak permata

Tanjung Harapan ada paus

Kalau kena virus cinta

Benda haram jadi harus

Buah strawberi buah ciku

Ceri kranberi dalam bakul

Kalau niat jahat terbuku

Semua kerja tak termakbul

Akhir Kalam Kata

Sebahagian masyarakat Melayu moden sekarang adalah masyarakat yang telah berjinak dengan persekitaran alam baru metropolitan dan pasca moden. Bandar dan kota raya telah dilalui, disinggah atau dihuni. Alam semulajadi dan fizikal yang biologikal anugerah Tuhan sudah ditransformasikan rupa bentuknya. Alam kampung yang menjadi latar dan tabir alam, atau set/prop pada pembayang pantun telah jauh pudar , dittenggelami peredaran dan musim perubahan yang mendatang, atau mula beransur hilang dari pandangan kerana telah dikepung dan digantikan dengan alam berteknologi. Masyarakat masakini sudah mula berjinak, mengguna dan menyayangi produk yang telah diproses, dikomersial dan malah dibudayakan oleh mekanisme teknologi.

Persekitaran moden dan metropolitan mula dikelilingi oleh produk popular dan barangan import, yang bercirikan elemen teknologi dan elektronik, saintifik dan materialisme, atau menggunakan penjenamaan terkenal antarabangsa dalam kehidupan harian yang semakin canggih dan tidak menentu atau tidak teramalkan. Tidak menghairankan jika masyarakat Melayu telah bergaul dan tergaul hidup bersama masyarakat global/etnik lainnya, atau berintraksi/beraksi dengan masyarakat luar atau antarabangsa, terdedah kepada aksentrik Eropah/Barat yang lebih versatil/ moden , atau dengan individu yang lebih sekularistik/materialistik, egosentris/anarkis, ekstrimis. Masyarakat Melayu dengan sendirinya telah menjadi sebahagian daripada masyarakat antarabangsa atau global, yang mana idea, cara dan nilai hidup, cita rasa, cara berpersepsi dan berimaginasi, serta sempadan budayanya telah.bercampur aduk.

Sekiranya seseorang itu  telah hidup dalam abad teknologi, industri atau budaya  siber dan pascamoden, maka kehidupan itu akan melingkari dan menyelusuri cara dan proses kehidupannya secara adaptasi, modifikasi, liberalisasi atau malahan secara bersendirian/bermaya. Sekiranya seseorang itu sudah mahir menggunakan kemudahan laman web/internet, parafernalia digital dan siber dengan pelbagai jenis perisiannya seperti grafik atau CADCAM, dengan sendirinya ia menjadi sebahagian daripada warga pasca-moden. Walaupun kehidupan pasca-moden itu lebih rencam, pelbagai, dinamik dan berkonflik, atau kerap menceroboh/meroboh tradisi dan melenyapkan konvensi hidup, proses pengadaptasian dan pemodifikasian atau pengubahsuaian tetap akan berlaku.

Dunia kepengarangan dan kreatif kini berdepan dengan budaya dan liberalisasi teknologi dan elektronik, budaya maya siber dan mikro cip, kecerdikan artifisial, dengan sifatnya yang menentang struktur, bentuk dan arus tradisi. Budaya ini berbentuk pascastruktural atau ala-dekonstruktif atau jungkik-balik, kesilangan atau kecelaruan amalan hidup yang kerap “terbalik kot”. Namun bibit pertembungan itu bukanlah sesuatu yang asing kerana ia telah memberikan pengalaman dan kefahaman baru tentang kerencaman budaya kontemporari ciptaan manusia. Ia suatu perubahan cita rasa dan merupakan pengalaman estetika yang tidak jumud atau monoistik. Kemayaan media internet, laman web dan kegairahan para penulis pojok elektronik atau blogis, yang mengarang dan berkongsi pemikiran secara maya, kritis dan global itu sendiri sudah tidak lagi bersifat tradisional, tetapi bersifat pascamodenis yang meliberalisasi budaya elektronik secara universal.

Malahan semangat atau sudut pandang tempatan sebahagian daripada ahli masyarakat telah ditamadunkan oleh sistem kualiti, pengakreditasian, penggredan, penjenamaan ISO, ataupun dicelup oleh semangat/roh Barat/Eropah, Amerika/Inggeris. Atau sebahagian lainnya masyarakat Melayu sekarang telah didominasikan oleh norma dan nilai Timur Tengah/Jauh. Perpanjangan daripada pengalaman hidup dan situasi baru ini, tentunya para penyair dan pemuisi kita tidak asing lagi dengan budaya masyarakat  kosmopolitan dan elit kota. Sama ada secara sedar atau tidak,  kita juga telah menjadi sebahagian daripada warga atau masyarakat pelanggan makanan segera, syarikat korporat dan global.

Namun semangat, perasaan, jiwa, psiki dan persepsi masyarakat Melayu yang menggubah dan mengguna pantun melalui imejan pembayang itu masih tetap hidup. Semangat dan kemakrifatan alam, melalui imejan tumbuhan hijau yang diwarisi dari alam desa dan kemestaannya ini masih lagi berlegar subur di sekitar persekitaran metropolitan. Namun tidak mungkin orang Melayu tidak mencintai imejan atau bersifat negatif pada nadi pemandangan kampung halamannya seperti pokok kelapa,  pisang, pinang dan sebagainya di bandar dan kota. Hal ini mengingatkan betapa akrabnya masyrakat Melayu dengan dunia dan wajah  “Alam Semesta” yang masih dominan di desa atau luar bandar, hutan belukarnya.

Kita tidak hairan kalau “tanaman kampung” seperti pokok kelapa itu diletakkan di dalam konteks metropolitan, kerana di situlah tempatnya suasana alam dan jiwa Melayu sentiasa tersemat atau teruja. Kerana perasaan Melayu itu biasanya sukar hendak melupakan kampung halaman yang diwarisi dan tumbuah secara melata/terbuka,si semak samun, belukar hutan, paya, tasik, di bukit bukau, di kawasan peprgunungan di tanah air mereka. Melalui pembayang pantun, terserlah psiki Melayu yang tradisional yang kerap menzahirkan perasaan yang mempunyai kaitan dan yang masih diulik oleh keperkasaan dan kesentosaan atau kesejagatan “Alam Semesta.” Imejan “kampung halaman”, tanah air, atau desa dan pendalaman, yang menyelubungi semangat dan citarasa Melayu yang sejati, kerap menjadi lambang asal usul mereka. Kesemestaan alam tumbuhan yang segar adalah sinonim dengan kehidupan harian mereka dan kerap menjadi imejan atau “ikon” kampung halaman mereka.

Di tengah-tengah bandar dan kota sememangnya tiada ruang yang membolehkan ditanami puluhan batang pokok kelapa, pisang, bunga kertas atau lain-lainnya. Tanaman “kampung” itu ditanam menjadi tanda dan kenangan yang menonjolkan  identiti dan citarasa kekampungan atau kedesaan. Andainya disemai pokok kelapa di perkarangan apartmen sudah memadai untuk menandakan kewujudan jiwa atau psiki dunia Melayu di situ. Aspek psiki dan jiwa Melayu, serta alam semulajadi dalam pembayang pantun Melayu mungkin boleh berpindah “ke sana ke mari,” atau “ke hulu hilir” pada bila-bila masa pun. Kita mungkin berantisipasi atau menimbulkan pertanyaan / reaksi, apakah tiada tanaman tumbuhan dunia Melayu seperti kelapa, padi, nenas, ubi, keledek, keladi, pisang dan lain-lainnya di Amerika dan China, atau bahagian dunia lain?

Imejan metropolitan dan pasca moden bukan lagi asing kepada masyarakat Melayu, khususnya di kalangan para penyair moden, atau pengarang dan pengamal pantun. Imejan pembayang yang ditonjolkan dalam karya pantun kontemporari tidak pula menjadi sesuatu yang sukar difahami. Menaiki kapalterbang atau kapal mewah, tren atau LRT untuk ke destinasi antarabangsa atau global adalah perekara lumrah, dan dengan sendirinya telah melebarkan pengalaman “Alam Semesta” atau alam persekitaran baru masyarakat  Melayu. Pengelaman ini bukanlah sesuatu yang  anih. Melalui perjalanan dan pendedahan  ini seseorang itu akan bertemu, bermesra dan akrab dengan pelbagai pengalaman baru atau imejan yang berlambakan di luar daerah tradisi. Epal, strawberi, anggur, pear, avakardo, kubis, kiwi sudah amat biasa ditemui. Kesemuanya ini adalah imejan, kamus imejan dan perbendaharaan kata / diksi baru untuk pembayang pantun Melayu. Namun dengan perkembangan, pembangunan dan kecanggihan teknologi,masakini epal juga terdapat di Sarawak dan anggur pula di Perlis. Bahkan kubis, tomato, asparagus tidak lagi menjadi tumbuhan dominan sesebuah negara sahaja kerana ia menjadi sebahagian daripada tumbuhan “Alam Semesta” tanah air.

Sekiranya pembayang pantun kita hanya masih terhad untuk mempertahankan alam dan suasana kampung, desa, bukit bukau, hutan belukar, atau tanaman dan buahan,  serangga atau binatang tempatan semata-mata, maka realiti pengarang, penyair atau pemantun kontemporari mungkin tergugat. Kerana pengalaman “Alam Semesta” itu amat terhad penggunaannya dan tidak lagi relevan dengan persekitaran waktu masakininya. Sebaliknya jika karya pantun itu dikerjakan secara jujur maka tidak hairanlah kalau pantun sekarang terdapat imejan walrus, paus, salji, kerana kita menulis realiti pantun di mana-mana tempat pun. Maka asosiasi “Alam Semesta” atau alam semulajadi dan pengalaman naturalisme di bumi Nusantara atau Malaysia ke dalam pantun kontemporari merupakan sebahagian daripada imejan harian dan masakini. Kerana imejan yang menjadi kenyataan dan realiti sebenar itu berubah emparan (epicentre) atau paksi pengalamannya, iaitu pendedahan pada pengalaman universal, global atau penerapan pengalaman “tanah asing” atau pun “budaya bawah tanah” yang tidak lagi milik tradisi, yang menyongsang arus kehidupan. Oleh itu pengalaman dan imejan pembayang pantun kontemporari adalah suatu pancaran universal yang kompleks sifatnya, dan bukanlah lagi suatu manifestasi alam tradisional masyarakat Melayu yang tertutup, atau dikongkong oleh batas alam yang bersifat tempatan sahaja.

——oOo——

Bacaan dan Rujukan:

  1. Abdullah Al-Qari Hj.Salleh, Sinar Wahyu Menembusi Pantun Falsafah Melayu, Kuala Lumpur: Al-Hidayah Publishers, 2002.
  1. ’A’idh ‘Abdullah al Qarni, Dr. (terj.) Al-Quran Berjalan: Potret Keagungan Manusia Agung,  Jatiwaringin: Sahara Publishers, 2006.
  1. Alijah Gordon (ed.), The Propagation of Islam in the Indonesian-Malay Archipelago, K.Lumpur: Malaysian Sociological Research Institute, 2001.
  1. A.Hasjmy, Sejarah Kebudayaan Islam, Jakarta: Penerbit Bulan Bintang, 1979.
  1. Abd.Rahman Hj.Abdullah, Pemikiran Islam Klasik: Pengaruh Falsafah Yunani dan Kebangkitan Gerakan Tajdid, K.Lumpur: Al-Hidayah Publishers, 2004.
  1. Azyumardi Azra, The Origins of Islamic Reformism In SouthEast Asia, Honolulu: Allen & Unwin and University of Hawai’i Press, 2004.
  1. Bery Gaut dan D.M.Lopes,  The Routledge Companion to Aesthetics, London and  New York: Routledge, 2006.
  1. C.Hooykaas, Penyedar Sastera, Kuala Lumpur: Oxford University Press, 1963
  1. David Bell and Barbara M.Kennedy, The Cybercultures Reader, New York: Routledge, 2002.
  1. David Harvey, The Condition of Postmodernity:An Inquiry Into the Oirigins of Cultural Change, Cambridge: Blackwell,1992.
  1. F.R. Palmer, Semantics, Cambridge: Cambridge University Press, 1983.
  1. Harun Mat Piah (ed.) Karya Agung: Pantun Melayu, K.Lumpur: Yayasan Karyawan, 2001.
  1. Laurie Schneider Adams, The Methodologies of Art: An Introduction, Boulder: Westview Press, 1996.
  1. Mikel Dufrenne, Main Trends in Aesthetics and the Sciences of Art, New York:  Holmes & Meier Publisher Inc., 1979.
  1. Muhammad Haji Sallleh, Permata Di Rumput, Gilang Sastera Sebagai Ruang Bangsa, Kuala Lumpur: DBP, 2008).
  1. Muhammad Zaki Badawi, Latar Belakang Kebudayaan Penduduk-Penduduk di Tanah Melayu: Bahagian Kebudayaan Islam, Kuala Lumpur: DBP, 1962.
  1. Paul Kurtz (ed.), Science and Religion: Are They Compatible? New York: Prometheus Books, 2003.
  1. Robert Hodge and Gunther Kress, Social Semiotics, Oxford: Polity Press, 1988.
  1. Roy Harris and Talbot J.Taylor, Landmarks in Linguistic thought: The Western Tradition from Socrates to Saussure,  New York: Routledge, 1989.
  1. Seyyed Hossein Nasr, Sufi Essays, Albany: State University of New York Press, 1972.
  1. Shamsiah Mohd Said (transl.), Gagasan Agung: Sebuah Leksikon Pemikiran Barat oleh Mortimer J.Adler, K.Lumpur: Institute Terjemahan Negara Malaysia Bhd,, 2008
  1. Simon During (ed.), The Cultural Studies Reader, London & N.York: Routledge, 1994.
  1. S.Takdir Alisjahban, Puisi Lama, Petaling Jaya: Zaman Baru Ltd., 1969
  1. Steven Connor, Postmodernist Cullture: An Introduction to Theories of the Contemporary, Oxford: Blackwell, 1991.
  1. Will Durant, The Story of Philosophy, New York: Pocket Books, 1961.
  1. William Lane Craig and J.P.Moreland (eds.), Naturalism: A Critical Analysis, London: Routledge, 2000.

Pantun, Imejan dan Situasi

Comments are closed.